Cara Menyeronokkan untuk Mengajar Anak

28 July 2021Kongsikan artikel ini

5 Cara Menyeronokkan untuk Mengajar Anak-Anak Anda Makan dengan Sihat

Kanak-kanak sering membuat pilihan makanan hanya melalui penilaian deria tanpa mempedulikan saiz hidangan atau nilai pemakanan. Sebagai ibu bapa, penting bagi kita untuk membimbing mereka membina tabiat makan yang sihat sejak muda, supaya mereka membesar untuk lebih cenderung membuat pilihan yang sihat dan gemar makanan yang berkhasiat.

Berikut adalah beberapa panduan bagi mengajar anak-anak kita cara terbaik memilih makanan yang sihat dan baik untuk minda serta tubuh yang sedang membesar:

1. Berikan mereka pilihan

Memberikan mereka pilihan bermakna memberikan mereka kawalan. Kita boleh menawarkan dua pilihan yang sihat, sebagai contoh epal atau strawberi. Dengan cara ini, anak kita merasakan mereka mempunyai kawalan terhadap apa yang mereka makan.

2. Masak bersama

Mengajak anak-anak untuk membantu anda di dapur dapat memberikan peluang untuk berbincang mengenai pemakanan dan meningkatkan kebarangkalian untuk mereka makan makanan sihat yang dimasak bersama.

3. Raih keseimbangan

Kita perlu menunjukkan kepada anak-anak kita bahawa pemakanan yang sihat bukan bermaksud kita perlu menghindari sebarang makanan atau mana-mana kumpulan makanan, tetapi menikmati kepelbagaian dalam jumlah yang tepat. Ini termasuk manisan. Sebagai contoh, berikan mereka strawberi bersalut coklat.

4. Jadikan makanan menyeronokkan

Anak-anak kita lebih mudah belajar daripada visual. Oleh itu, ajarlah mereka tentang makanan yang sihat dengan membuat bentuk tubuh manusia menggunakan sayur-sayuran dan buah. Sebagai contoh, gunakan kacang pea untuk mata atau gunakan carta pelangi dan minta mereka menandakan warna yang telah dimakan.

5. Makan bersama-sama

Tiada apa yang lebih menggembirakan selain makan bersama-sama keluarga, kerana ketika itulah kita dapat menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak.

Bukan mudah untuk memupuk tabiat makan yang sihat apabila anak-anak lebih suka makanan yang tinggi lemak, gula dan garam. Dengan kesabaran dan kesungguhan, secara perlahan-lahan kita dapat membantu anak-anak kita membuat satu pilihan yang lebih baik dalam satu-satu masa. Tidak semestinya setiap makanan mesti sihat 100%. Kita boleh berusaha untuk mencapai 90% sihat, dan meninggalkan baki 10% untuk menikmati makanan yang digemari.